DEWAN Rakyat kembali bersidang hari ini, pertama kali di bawah kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri kelapan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persidangan kali ini bakal berlangsung dalam suasana suhu politik negara sedikit reda susulan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lalu.
Bermula jam 10 pagi ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.
Ia disusuli beberapa aturan dan pembentangan usul pada hari kedua persidangan esok.
Berdasarkan urusan aturan mesyuarat yang dikongsi beberapa Ahli Parlimen sebelum ini, persidangan esok bermula dengan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang mana soalan pertama dikemukakan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif.
Ia disusuli soalan oleh Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Usul-usul lain yang terkandung dalam urusan mesyuarat pada hari kedua ialah memilih Timbalan Speaker, Perintah Dewan kepada Ketua Polis Negara untuk tidak menghalang Ahli Dewan Rakyat ke Parlimen serta usul menjunjung kasih Titah Diraja.
Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman yang meletakkan jawatan baru-baru ini.
Mereka iaitu Ahli Parlimen Pontian dari blok kerajaan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.
Jika kedua-dua dicalonkan, persidangan dewan pada esok bakal menyaksikan 220 Ahli Parlimen membuat pengundian untuk memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.
Pada masa sama, usul undi percaya kepada Perdana Menteri tiada dalam senarai pada tarikh berkenaan.
Persidangan kali ini berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober.
Antara lain, ia dijangka menumpukan isu pemulihan negara susulan pandemik Covid-19 serta pakej-pakej bantuan disediakan kerajaan untuk kelangsungan hidup rakyat. – Malaysiapost

