BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan beliau kagum dengan semangat Siti Nur Azizah Syafriadi, 17, yang tidak putus-putus melempar senyuman walaupun kini masih dalam keadaan terlantar selepas tangannya terpaksa dipotong hingga paras bahu kerana cedera akibat disamun pada bulan lalu.
Beliau berkata, Siti Nur Azizah juga bersungguh-sungguh mahu segera pulih untuk kembali bekerja membantu ibunya membesarkan empat adik-beradiknya yang lain.
Katanya, beberapa hari lalu, pegawainya telah menghantar kerusi roda untuk memudahkan pergerakan remaja itu.
“Kerusi roda ini diharap dapat membantu pergerakan Siti Nur Azizah selepas melalui pembedahan baru-baru ini.
“Siti Nur Azizah, seorang anak yang sangat baik. Dia keluar mencari rezeki untuk bantu keluarga selepas kehilangan bapa yang meninggal dunia. Tetapi disamun oleh penjenayah durjana,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Najib berkata, beliau juga ada menyalurkan bantuan wang tunai kepada ibu remaja itu, Roslinawati Ya untuk mengurangkan beban hidup mereka selain bantuan guaman jika keluarga tersebut memerlukan.
Ahli Parlimen Pekan itu turut menghantar kumpulan sanitasi ke rumah Siti Nur Azizah sebelum dia pulang dari hospital bagi mengurangkan risiko jangkitan selain menghulurkan beberapa keperluan lain.
“Saya doakan Siti Nur Azizah terus cekal dan dikurniakan sebaik-baik kesembuhan. Nanti, bila dah sembuh, saya berharap dapat berjumpa mereka sekeluarga.
“Saya mohon anda semua doakan kesembuhan Siti Nur Azizah dan moga Allah SWT limpahkan rezeki kepada mereka sekeluarga,” katanya.
Ogos lalu, media melaporkan Siti Nur Azizah bersama rakan lelakinya yang menaiki motosikal cedera selepas dipercayai diserang serta disamun tiga lelaki di Jalan Kuching menghala ke Jinjang, Kuala Lumpur dalam kejadian jam 12.15 tengah malam.
Susulan kejadian itu, Siti Nur Azizah terpaksa menjalani tiga pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.
Tangan kanannya terpaksa dipotong kerana tidak boleh berfungsi lagi walaupun saluran darah utama sudah dijahit, bagi mengelak jangkitan kuman. – Malaysiapost

