Semalam negara telah merekodkan seramai 592 angka kematian dari wabak Covid-19 lantas meletakkan kedudukan negara di tangga keempat tertinggi kematian di dunia dari wabak.
MESKIPUN angka kematian akibat Covid-19 yang tinggi dilaporkan semalam adalah dari kes-kes tertunggak (data backlog), ia tetap tidak boleh menafikan fakta bahawa angka kematian terutama di luar hospital (BID) sangat tinggi dan membimbangkan.
Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 592 kes baharu Covid-19 dengan 88 kes BID, namun menjelaskan jumlah sebenar kematian dalam tempoh 24 jam hanya 100.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara telah menyaksikan lebih 20,000 kematian akibat wabak berkenaan.
Katanya, ia mungkin dianggap remeh dan tidak termasuk berapa banyak pesakit bukan Covid-19 yang kesihatannya terus terjejas kerana kelewatan menerima pemeriksaan dan rawatan.
“Setiap angka kematian itu bukan sekadar statistik tetapi adalah mereka yang mempunyai orang tersayang; dari seorang nenek hinggalah kepada anak kecil yang kini menjadi anak yatim atau yatim piatu.
“Negara terus dirundung dengan dampak wabak yang buruk, termasuk keyakinan pengguna domestik untuk berbelanja meski SOP untuk sektor ekonomi kini banyak dilonggarkan. Pelabur luar juga masih tidak melihat Malaysia sebagai destinasi penting pelaburan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata KKM harus segera menjalankan libat urus dengan pakar di sektor awam mahupun sektor swasta sebagai usaha dan upaya untuk mengelak lebih banyak kematian.
“Kita perlukan tahap ketelusan yang lebih lagi bagi memastikan punca-punca kematian. Sebagai contoh, apakah terdapat kelewatan untuk para pesakit menerima rawatan.
“Saya ulang tentang keperluan untuk menyuntik sebanyak RM45 bilion lagi pakej rangsangan fiskal bagi melawan kesan wabak.
“Ini tidak hanya akan menopang golongan yang terkesan secara ekonomi, tetapi juga akan membantu memperbanyak pembangunan dan pembinaan pusat-pusat kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

