KEHILANGAN nyawa dan mata pencarian akibat peningkatan kematian dan jangkitan Covid-19, serta keadaan ekonomi yang mendesak bagi rakyat biasa adalah faktor utama bagi DAP dalam mempertimbangkan tawaran reformasi institusi oleh kerajaan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Covid-19 telah melanda setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Susulan itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) dan DAP tidak boleh menutup mata terhadap penderitaan rakyat.
“Penderitaan rakyat perlu diutamakan. Meskipun adanya ketidakpercayaan sama ada janji-janji reformasi tersebut akan ditunaikan, tawaran reformasi oleh Perdana Menteri perlu dipertimbangkan.
“Dengan syarat ia memiliki garis masa pelaksanaan ditetapkan dan disertai dengan pembaharuan dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam.
“Ini tidak hanya merangkumi Pelan Pemulihan Ekonomi berjumlah RM45 bilion dan pengecualian faedah semasa tempoh moratorium pinjaman bank atau Pelan Reset Covid-19 Negara untuk mengurangkan kematian dan jangkitan,” katanya menerusi kenyataan.
Guan Eng seterusnya berkata perlu ada pendekatan keseluruhan masyarakat terhadap reformasi dalam politik, ekonomi dan penjagaan kesihatan awam.
Katanya lagi, ia mestilah dengan fokus bersama yang melibatkan masyarakat sivil untuk menang melawan Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi yang sedang tenat.
“Mengetepikan kepentingan politik untuk mengambil pendekatan bipartisan bukanlah mudah. Tetapi kita perlu berani berusaha demi menyelamatkan bukan sahaja anak muda tetapi juga masa depan anak muda negara,” katanya.
Kelmarin kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tawaran itu meliputi tujuh perkara iaitu melaksanakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan meliputi pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. – Malaysiapost

