PULAU Pangkor dijangka dibuka semula kepada pengunjung pada 1 November depan berpandukan gelembung hijau pelancongan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Beliau berkata cadangan mengenainya akan dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), lapor Berita Harian.
Nolee Ashilin menjelaskan, terdapat kriteria yang belum dipenuhi khususnya membabitkan vaksinasi selain menunggu penyelarasan jumlah sebenar penduduk yang sudah divaksin.
“Setakat Isnin lalu, hanya 87 individu daripada kira-kira 5,900 penduduk termasuk penggiat industri pelancongan yang berdaftar dengan program vaksinasi ‘outreach’ di Pulau Pangkor masih belum divaksin.
“Ini disebabkan masalah tertentu seperti sedang menjalani kuarantin serta menghidapi penyakit tertentu.
“Jadi kita nak selaraskan semula mana yang sudah divaksin di PPV Lumut dan mana yang sudah divaksin dengan PPV ‘Outreach’ di Pulau Pangkor supaya kita boleh buktikan Pulau Pangkor sudah mencapai 80 peratus imuniti kelompok,” katanya.
Ketika ini tiada PPV di Pulau Pangkor menyebabkan pemberian vaksin dilakukan melalui program outreach komuniti dan sebahagian besar penduduk mendaftar untuk divaksin di PPV Lumut. – Malaysiapost

