AHLI Parlimen Selangau, Baru Bian mengesahkan beliau positif Covid-19, sekali gus tidak dapat hadir persidangan Dewan Rakyat Parlimen yang akan bermula esok.
Menerusi kenyataan hari ini, Baru memaklumkan saringan ujian RT-PCR menunjukkan beliau positif Covid-19 pada malam kelmarin.
Ujian saringan itu, katanya, adalah sebahagian daripada prosedur yang diwajibkan sebelum persidangan Dewan Rakyat.
“Saya dijadualkan terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching hari ini untuk menghadiri persidangan Parlimen bermula esok.
“Namun, saya didapati positif Covid-19 ketika menjalani ujian wajib RT-PCR pada malam Jumaat, 10 September 2021 iaitu tiga hari sebelum persidangan Parlimen.
“Saya diminta menjalani kuarantin hingga 21 September 2021, jadi saya mesti tidak hadir di Parlimen sehingga kuarantin selesai,” katanya.
Baru berkata, beliau hanya mengalami gejala ringan, selesema dan demam yang ringan.
Susulan itu, beliau menggesa orang ramai untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 kerana diyakini boleh membantu menyelamatkan nyawa pesakit wabak tersebut.
“Saya yakin vaksinasi saya terima beberapa bulan lalu telah mencegah simptom serius yang memerlukan rawatan di hospital, dan saya sangat menggesa mereka yang belum diberi vaksin untuk mendapatkannya.
“Ia dapat menyelamatkan nyawa anda,” katanya. – Malaysiapost

