KETUA Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak, 59, meninggal dunia awal pagi tadi akibat kesan sampingan selepas dijangkiti Covid-19.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Mat Yusop berkata Allahyarham dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pada 8 Ogos lalu, akibat dijangkiti Covid-19.
Katanya, arwah dimaklumkan sudah sembuh daripada Covid-19, namun mengalami sindrom ‘Long Covid’, lapor Harian Metro.
“Kita rasa amat sedih dengan kehilangan ini, arwah adalah seorang pegawai polis yang komited dalam tugas. Kita rasa kehilangan memandangkan arwah adalah seorang yang berpengalaman dalam urusan siasatan jenayah.
“Segala kebajikan ahli keluarga akan kami santuni mengikut keperluan semasa,” katanya.
Allahyarham yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 35 tahun sepatutnya menamatkan perkhidmatan secara bersara wajib pada 9 Oktober ini.
Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 1.35 pagi tadi akibat Covid-19 class SB with secondary infection.
Arwah meninggalkan 10 anak dan seorang balu, Noor As Azura Md Aris.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Surau IPK Negeri Sembilan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang pada jam 10 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga PDRM turut menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham.
Ucapan itu dizahirkan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi PDRM. – Malaysiapost

