“JIKA kelas ekonomi beratur maka kelas bisnes pun perlu beratur, tetapi yang penting datang awal untuk memasuki masjid bagi solat jemaah,” kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau berkata, semua pengurusan masjid juga perlu berlaku adil dan tidak membezakan layanan antara kelas biasa dan kenamanan (VIP) dan mengutamakan mereka hadir lebih awal ke masjid.
“Kita harapkan agar tidaklah lagi ada perbezaan layanan antara VIP dan kelas biasa untuk masuk ke masjid khususnya ketika ada batasan dari sudut bilangan.
“Benar, jemaah tetap kadang-kadang diberikan keutamaan, namun jemaah yang tidak tetap juga tidak boleh diketepikan, mereka hadir solat Jumaat kerana itulah solat berjemaah yang difardhukan dan ia hanya dilaksanakan di masjid yang dibenarkan, bukan di madrasah biasa.
“Kesimpulannya, mahu masuk ke masjid, datanglah awal. Kalau kelas ekonomi pun beratur, kelas bisnes pun beraturlah. Semoga pengurusan masjid tidak dihukum ditohmah dengan khilaf ini, apatah lagi permohonan maaf telah dibuat,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pengurusan masjid juga perlu mengambil pengajaran daripada insiden yang berlaku itu sebagai satu teguran bagi memperbaiki kesilapan tersebut.
“Pengurusan masjid merupakan kelompok terhormat kerana jasa dan sumbangan mereka menguruskan tempat yang mulia. Hanya Allah SWT yang berhak membalas jasa. Dalam masa yang sama, teguran dan saranan dari jemaah juga bertujuan untuk kebaikan,” katanya.
Terdahulu, Pengurusan Masjid Putra tampil menjelaskan isu berhubung tular satu video di laman sosial, mendakwa terdapat layanan dua darjat kepada jemaah yang hadir bagi solat Jumaat di masjid itu.
Pengurusan Masjid Putra dalam satu kenyataan berkata, kehadiran jemaah untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di masjid berkenaan adalah mengikut garis panduan dan ketetapan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu dengan kapasiti 300 orang.
Jumlah itu termasuk memperuntukkan sejumlah kuota buat jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dengan turut memaklumkan jangkaan waktu ketibaan mereka.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/09/11/masjid-putra-perjelas-isu-layanan-dua-darjat/

