Negara hilang seorang tokoh perkhidmatan keselamatan awam – PM

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata negara kehilangan seorang tokoh perkhidmatan keselamatan awam yang disegani susulan pemergian Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan hari ini.

Beliau berkata, selaku mantan Pengarah Bahagian Jabatan Penyiasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Allahyarham sangat tegas dan komited dalam memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perkhidmatannya.

“Hari ini, Keluarga Malaysia kehilangan seorang tokoh perkhidmatan keselamatan awam yang disegani iaitu Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan, yang kembali ke Rahmatullah pada 10.15 pagi tadi,” tulisnya di Facebook.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang.

“Saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Selain Ismail Sabri, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Terdahulu, media melaporkan, Zaman Khan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 10.15 pagi ini.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke IJN kerana mempunyai masalah tekanan darah dan jangkitan kuman.

Zaman Khan pernah memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 1993 dan terbabit kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu dikenali sebagai Bentong Kali. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here