PAS sokong Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker

0
2

NAIB Presiden PAS Idris Ahmad berkata, parti itu menyokong penuh usul mencalonkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Idris berkata, beliau yakin 18 Ahli Parlimen PAS akan memberi sokongan kepada Ahmad untuk menjawat jawatan itu.

“Insya-Allah 18 Ahli Parlimen PAS akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Selagi hukuman tidak dijatuhkan (merujuk pertuduhan dihadapi Ahmad) maka kita tak boleh anggap orang itu bersalah,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Idris berkata demikian mengulas keputusan Umno mencalonkan Ahli Parlimen Pontian itu sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mengisi kekosongan jawatan itu selepas dikosongkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman.

Sebelum ini Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dipetik sebagai berkata pihaknya mengadakan pertemuan dengan Ahmad mengenai pencalonan itu dan beliau juga sudah bersetuju.

Blok pembangkang dilaporkan mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengagihan kerusi antara PAS, Bersatu dan Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Idris berkata pihaknya belum bersedia mendedahkan mengenai perkara itu.

“Ulasan mengenai pembahagian kerusi itu akan diberikan selepas ini,” katanya.

Untuk rekod, Ahmad kini berhadapan dengan kes mahkamah membabitkan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here