Zaman Khan umpama ‘bomoh’, tahu mana penjenayah sembunyi

0
1

“TAN Sri bagitahu saya, ada orang kata dia umpama ‘bomoh’ yang tahu di mana penjenayah bersembunyi,” kata Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Shamrahayu menerusi hantaran di Facebooknya berkongsi kenangan sepanjang beliau mengenali bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Allahyarham Tan Sri Zaman Khan.

Menurut Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Allahyarham adalah seorang tokoh polis yang dikaguminya sejak beliau di bangku sekolah lagi.

“Beliau adalah antara hero-hero yang amat saya hormati. Apabila saya bangkit dalam kerjaya saya, saya bersua dengan Tan Sri, kadang-kadang sebagai rakan ahli panel, kadang-kadang sebagai teman untuk saya mendengar nasihat.

“Saya menjadi lebih rapat dengan Tan Sri apabila kami sama-sama berkhidmat dalam Majlis Dakwah Negara. Tan Sri sentiasa semangat bercerita tentang keselamatan negara,” kongsinya dalam hantaran itu.

Shamrahayu berkata, sepanjang lebih tujuh tahun beliau mengenali Allahyarham secara rapat, banyak kisah dikongsi Zaman Khan sepanjang perkhidmatannya.

“Andai bersua dengan Tan Sri, pastinya saya tidak melepaskan peluang untuk ‘mengorek’ cerita dalaman perkhidmatan di PDRM.

“Pernah saya tanya Tan Sri, bagaimana Tan Sri menyelesaikan kes-kes berprofile tinggi. Tan Sri bagitahu saya, ada orang kata dia umpama “bomoh” yang tahu di mana penjenayah bersembunyi, tapi sebenarnya, kata Tan Sri, analisis kepada fakta dan ‘instinct’ yang membolehkan beliau dapat menjejaki penjenayah,” katanya.

Cerita Shamrahayu lagi, Allahyarham adalah seorang hero Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menumpaskan ramai penjenayah semasa berkhidmat.

“Beliau memegang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM. Ketika itu saya belajar di UIAM dan saya sentiasa membaca dan mengikuti kejayaan Tan Sri.

“Semasa itu saya tidak menyangka suatu hari nanti saya akan berpeluang duduk bersama dengan Tan Sri,” katanya.

Beliau berkata, Allahyarham sempat menjawat jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalaman Negeri dan Ketenteraman Awam di Ibu Pejabat Polis sebelum ditempatkan di Jabatan Penjara.

“Seingat saya, seperti yang diceritakan oleh Tan Sri kepada saya, oleh kerana pencapaian Tan Sri, PDRM, menghantar kepakaran Tan Sri untuk mebantu Jabatan Penjara. Sebab itulah Tan Sri dihantar ke Jabatan Penjara,” katanya.

Beliau turut mengakui terkesan dengan keperibadian Allahyarham termasuk mengakui mempunyai banyak kenangan dengan arwah.

“Antara moment yang saya tidak boleh lupa ialah ketika kami menjadi panel bicara bersama pelajar di Universiti Malaysia Pahang, Tan Sri sanggup membawa buku saya , ‘Kontrak Sosial’ hanya kerana untuk mendapatkan tandatangan saya. Saya amat terkesan dengan keperibadian Tan Sri,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Allahyarham Zaman Khan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) jam 10.15 pagi tadi.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Bukit Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas Asar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here