Covid-19: 12 hari bertarung di hospital, Aishah dibenar pulang

0
2

PENYANYI Aishah berkongsi berita gembira memaklumkan dirinya dibenarkan pulang ke rumah, semalam selepas 12 hari menerima rawatan di Hospital Ampang akibat dijangkiti Covid-19.

Perkara itu dikongsikan menerusi beberapa hantaran di Instagramnya.

“Alhamdulillah, tak tahu nak cakap macam mana, betapa bersyukurnya. Hari yang dinanti-nantikan.

“Dapat balik rumah, alhamdulillah. Terkenangkan rumah dah.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Sekarang, doakan juga untuk proses kesembuhan saya okey,” katanya menerusi rakaman video.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang banyak membantunya sepanjang dirawat di wad.

“Terima kasih kepada Frontliner yang menjaga saya selama 12 hari,” tulisnya.

Malah, sebelum meninggalkan kawasan wad, penyanyi berusia 56 tahun itu turut menceriakan suasana dengan menyanyikan lagu Bahtera Merdeka

“Masuk hospital pada 30 Ogos, tak sempat nyanyi lagu ini. Terima kasih petugas barisan hadapan.

“Ini wajah-wajahnya, ada masanya baik, ada masanya macam drakula, sebab tak ambil darah aku kiri kanan sampai lebam biru. Ini wajahnya yang tak habis-habis cucuk jarum.

“Pagi-pagi buta ingatkan apa mereka nak, rupa-rupanya mereka nak ambil gambar. Terima kasih banyak. Kalau ada buat majlis makan malam tahunan, jemput saja saya, nanti kita nyanyi lagu Janji Manismu sama-sama,” katanya dalam sebuah lagi rakaman video di Instagramnya.

Selain itu, Aishah turut mengingati orang ramai supaya sentiasa mengambil berat dan menjalani kehidupan sihat kerana ia merupakan anugerah yang amat bernilai yang diberikan Allah.

“Jangan sesekali ambil mudah tentang anugerah kesihatan yang diberikan. Seperti diberikan peluang kedua untuk memperbaiki diri,” katanya.

Terdahulu, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin mengesahkan diri positif Covid-19 pada 30 Ogos lalu selepas menjalani ujian Covid-19 sehari sebelum itu.

Selepas melakukan ujian Kit Ujian Pantas (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta, doktor menyarankan beliau segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here