PM jangan hanya fokus reformasi politik – Guan Eng

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memberi komitmen bukan hanya terhadap reformasi politik semata-mata, tetapi juga ekonomi dan penjagaan kesihatan awam.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata
tujuh reformasi politik yang digariskan Ismail Sabri semalam, adalah berdasarkan pada apa yang ditawarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, reformasi politik yang dicadangkan bekas Perdana Menteri itu gagal dalam usaha terakhir untuk menyelamatkan kerajaannya, ditolak pembangkang kerana ia tidak boleh dipercayai.

“Persetujuan Kabinet Ismail Sabri untuk reformasi institusi politik bukan hanya perlu memiliki garis masa yang ditetapkan untuk pelaksanaannya tetapi yang lebih penting disertakan dengan reformasi dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam.

“Hanya dengan pendekatan keseluruhan masyarakat terhadap reformasi dalam politik, ekonomi dan penjagaan kesihatan awam, barulah akan ada fokus bersama untuk memenangkan pertempuran melawan Covid-19

“…. dan menyelamatkan ekonomi yang sedang tenat bagi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, kerajaan
perlu ada Rancangan Pemulihan Ekonomi berjumlah RM45 bilion dan pengecualian faedah dalam tempoh moratorium pinjaman bank serta peralihan daripada bantuan kecemasan “one-off” kepada bantuan kewangan berkala dan kerap.

“Ia untuk menormalkan ekonomi yang telah bertahan dengan lebih daripada RM500 bilion kerugian ekonomi bagi kembali menikmati pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Selain itu, katanya, Pelan Reset Covid-19 Negara diperlukan untuk beralih daripada dasar pembendungan yang bertujuan untuk menghapuskan Covid-19 kepada dasar mitigasi hidup bersama virus itu.

“Kementerian Kewangan perlu segera menyuntik RM45 bilion untuk menambah Dana Covid-19 RM65 bilion yang hampir habis setelah hanya berbaki RM8.6 bilion untuk dibelanjakan bagi separuh kedua tahun 2021, berbanding RM18.4 bilion yang telah dibelanjakan untuk separuh pertama tahun 2021.

“RM8.6 bilion tidak mencukupi untuk bertempur dan memenangi Covid-19 atau mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan pada separuh kedua tahun ini.

“Sekiranya RM38 bilion dapat dibelanjakan untuk memerangi Covid-19 dan untuk bantuan kewangan pada tahun 2020, RM27 bilion untuk tahun 2021 pasti tidak mencukupi. Apa yang diperlukan adalah suntikan segera sebanyak RM45 bilion untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, sebagai Perdana Menteri yang baru, Ismail Sabri perlu menunjukkan keikhlasan dan komitmen bahawa beliau serius melaksanakan reformasi berkenaan.

“Ismail Sabri perlu melakukan jauh lebih baik daripada pendahulunya, terutama reformasi dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here