Masjid Putra perjelas isu layanan dua darjat

0
1

PENGURUSAN Masjid Putra tampil menjelaskan isu berhubung tular satu video di laman sosial, mendakwa terdapat layanan dua darjat kepada jemaah yang hadir bagi solat Jumaat di masjid itu.

Pengurusan Masjid Putra dalam satu kenyataan berkata, kehadiran jemaah untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di masjid berkenaan adalah masih mengikut garis panduan dan ketetapan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu dengan kapasiti 300 orang.

“Daripada jumlah itu, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota buat jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dengan turut memaklumkan jangkaan waktu ketibaan mereka.

“Ini adalah bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota ditetapkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Mengulas lanjut, Pengurusan Masjid Putra berkata, saban minggu masjid itu sememangnya menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti ditetapkan sejak jam 11 pagi bagi menunaikan solat Jumaat.

“Apabila kapasiti jemaah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid dan menyebabkan ada jemaah yang hadir tidak dapat memasuki masjid.

“Pihak masjid juga telah memaklumkan dan menasihati para jemaah secara baik mengenai perkara itu,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihak pentadbiran masjid turut memohon maaf dan akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan terbaik selepas ini kepada jemaah mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kedudukan.

“Pihak pengurusan masjid bersedia untuk mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan setiap pihak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan.

“Pihak Masjid Putra memohon kemaafan dan kekhilafan yang berlaku dalam hal ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, menerusi video tular di laman sosial sejak Jumaat lalu memaparkan sebilangan jemaah tidak berpuas hati terhadap pengurusan masjid itu yang dilihat memberi layanan berbeza kepada mereka sewaktu ingin menunaikan solat Jumaat.

Dalam perkongsian video berdurasi 51 saat itu, pengurusan masjid dilihat menutup pintu pagar dan hanya membenarkan jemaah tertentu memasuki ruang rumah ibadah terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here