WARTAWAN Veteran, Datuk A Kadir Jasin berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak membawa masuk kembali Datuk Seri Najib Razak atau mana-mana Kluster Mahkamah ke dalam pentadbiran kerajaannya, meskipun terhutang budi.
A Kadir berkata, beliau berharap ‘cerita’ hendak membawa balik bekas Perdana Menteri itu ke dalam kerajaan hanyalah propaganda kluster mahkamah dan geng “Bossku” bagi menguji di mana Ismail Sabri berdiri.
Justeru, soalnya, adakah Ismail Sabri terus berdiri bersama orang yang membuka ruang kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin atau beliau akan membawa masuk kluster mahkamah dan kleptokrat ke dalam kerajaannya?
Sebaliknya, katanya, Muhyiddin terus menolak kleptokrasi dan tidak bertolak ansur dengan kluster mahkamah walaupun hilang sokongan untuk memerintah dan hal ini wajar diberikan pengiktirafan.
“Bagaimanapun di pihaknya pula, Ismail Sabri tidak boleh tolak bulat-bulat kluster mahkamah dan kleptokrat kerana merekalah yang menumbangkan Muhyiddin dan memberi sokongan kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri.
“Inilah dilema Ismail Sabri. Dia terhutang budi dan boleh menjadi “pawn in the game” kepada terlalu banyak pihak dan kepentingannya,” katanya menerusi Facebook.
Tambah A Kadir, sebenarnya sebagai Perdana Menteri “outsider”, Ismail Sabri mempunyai kelebihan jika dirinya tahu bagaimana menjadikan Perdana Menteri yang baik.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan langkah iaitu menjanjikan pelaksanaan sejumlah pembaharuan berkaitan Parlimen dan pentadbiran sebagai keutamaan adalah menggalakkan.
“Secara tersirat ia adalah ranting zaiton (olive branch) kepada Ahli Dewan Rakyat Pembangkang menjelang sidang Dewan Rakyat 13 September ini.
“Kabinet dalam mesyuaratnya minggu ini telah menyetujui cadangan itu,” katanya.
Tujuh cadangan yang dimaksudkan adalah:
i. Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen.
ii. Pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.
iii. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
iv. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
v. Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
vi. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN
vii. Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
Namun, katanya, sekiranya Ismail Sabri tunduk kepada tekanan kluster mahkamah dan kleptokrat, beliau akan menjadi tidak lebih daripada budak suruhan dan akan dicabar.
“Tetapi secara peribadi, saya cenderung memberikan peluang yang secukupnya kepada Ismail Sabri bagi membuktikan kesungguhannya mententeramkan suasana politik negara dan memastikan Malaysia tidak kembali ke zaman gelap kleptokrasi,” ujarnya – Malaysiapost

