Ahmad Maslan dakwa jadi mangsa dana politik tidak diaktakan

0
1

“SAYA Ahli Parlimen yang menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan,” kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahli Parlimen Pontian itu berpendapat Akta Pendanaan Politik perlu diteruskan kerajaan pada masa sekarang dan drafnya perlu dibentangkan semula oleh pihak berkaitan bagi mendapatkan maklum balas yang terkini.

Pendirian itu disuarakan Ahli Parlimen Pontian itu memandangkan beliau pernah menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan.

Malah, kes berkenaan menyebabkan beliau bukan individu pilihan untuk menyertai barisan kabinet ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kenapa tiba-tiba saya nak perkenalkan semula (akta), atas nama saya sendiri, adalah kerana, saya ahli Parlimen yang menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan.

“Ada dua kes sahaja tentang saya, iaitu dituduh menerima sejumlah wang tetapi konon saya tak bayar cukai, maka saya tak masuk dalam senarai (kabinet) Muhyiddin.

“Dan dalam senarai (kabinet) Ismail Sabri juga saya tidak masuk sebab ada sedikit masalah itu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Ahmad berkata, penelitian lanjut mengenai akta berkenaan perlu dilakukan bagi memberikan kefahaman tertentu termasuk mengenai maksud dana awam dan dana swasta, atau dana dalam bentuk barangan yang diterima seseorang.

Katanya lagi, kerajaan BN pada 2009 telah berusaha membentangkan rang undang-undang mengenai pendanaan politik.

Ahmad berdepan perbicaraan dua kes pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Serta satu lagi pertuduhan iaitu memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bermula Jun tahun hadapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here