RUU sekat pengembangan doktrin, agama dalam kalangan orang Islam disalah erti

0
2

PENGGUBALAN Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah disalahertikan oleh segelintir pihak.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang menjelaskan polemik itu timbul apabila jawapan soalan tambahan, Datuk Ahmad Marzuk Shaary di Parlimen pada November lalu, telah dipetik di luar konteks dan disebarkan pihak tertentu.

Beliau berkata, jawapan tersebut asalnya adalah penjelasan berkenaan perancangan strategik kerajaan bagi menggubal sekurang-kurangnya 11 undang-undang Syariah utama.

“Ia merangkumi penggubalan undang-undang baharu dan pindaan terhadap undang-undang sedia ada, termasuklah cadangan penggubalan Rang RUU Akta tersebut.

“Pertamanya, berpaksikan kepada Perkara (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan (dalam konteks Wilayah Persekutuan) untuk melindungi kesucian agama Islam, iaitu dengan melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

“Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: “Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawali atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Idris berkata, kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam berdasarkan Perkara 11(4), yang menjadi punca kuasa RUU ini, hanya dihadkan kepada orang Islam sahaja bukan kepada sesama penganut agama lain.

Justeru, katanya, pengembangan agama kepada penganut agama selain daripada penganut agama Islam adalah dibolehkan di sisi undang-undang dan hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 juga masih dijamin walaupun RUU ini digubal dan diluluskan.

“RUU ini juga bukanlah suatu perkara baru. Sebanyak 10 negeri di Malaysia telah pun meluluskan enakmen yang sama sejak tahun 1980-an lagi, kecuali empat negeri yang masih belum lagi berbuat demikian iaitu Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya), Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Dalam hal ini, Wilayah-wilayah Persekutuan turut diberikan kuasa yang sama untuk menggubal undang-undang berkaitan agama, yang terpakai hanya di Wilayah-wilayah Persekutuan, sama seperti negeri-negeri.

“RUU yang dicadangkan dalam konteks ini akan diguna pakai di peringkat Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja. Bagi negeri-negeri lain yang masih belum menggubal enakmen ini, penggubaiannya adalah bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya.

Idris berkata, proses penggubalan RUU ini tetap sama seperti RUU yang lain dengan mengikut tertib yang sewajarnya.

“RUU ini tetap memerlukan kepada persetujuan dasar di peringkat Kabinet, perkenan daripada Yang diPertuan Agong dan perlu diluluskan di peringkat Parlimen.

“Saya percaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meneliti sebaiknya perkara ini, dan memastikan proses penggubalan RUU ini dibuat mengikut tertib yang betul, serta bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, beliau berharap agar isu ini tidak dipolemikkan oleh pihak tertentu, sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here