PENGGUBALAN Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak bermaksud menyekat penyebaran agama bukan Islam terhadap sesama mereka.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin berkata penganut bukan Islam tetap bebas menganut ajaran pilihan mereka dan sememangnya tidak ada paksaan memeluk Islam.
“Akta ni digubal untuk melindungi umat Islam dari pelbagai dakyah ajaran sesat, ektremis dan pengembangan agama lain terhadap umat Islam.
Hak ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa ‘tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamihan berkata, penggubalan undang-undang itu adalah selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa ‘undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam’.
Katanya, demikian itu, penggubalan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan ia sah serta perlu dihormati oleh seluruh warganegara Malaysia.
“Saya fikir Menteri Agama sudah ada perancangan untuk menambahbaik aspek penguatkuasaan, pendakwaan dan penyelarasan demi memartabatkan perundangan Islam di negara ini.
“Kesimpulannya, penggubalan undang-undnag ini merupakan satu perjuangan mulia yang diredhai Allah. Dan ia tidak perlu dijadikan polemik politik sempit mana-mana parti politik untuk menggugat kestabilan agama dan kaum di negara ini,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan berkata, bahawa kerajaan akan memperkenalkan 11 RUU syariah baharu yang sedang digubal ketika ini termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.
RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam dibentangkan setelah Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa masyarakat bukan Islam boleh menggunakan kalimah ‘ALLAH’. – Malaysiapost

