PELAKON Datin Eina Azman memanjatkan rasa syukur selepas suaminya Datuk Kaiser Gurmeet Abdullah yang dijangkiti Covid-19 tahap empat sudah dibenarkan pulang ke rumah.
Eina menerusi hantaran di Instagram mengakui sepanjang 12 hari Kaiser menerima rawatan di hospital, hatinya cukup berdebar memikirkan keadaan suaminya.
“Dia dijangkiti Covid-19 tahap empat. Paru-parunya sudah dijangkiti 30 peratus dengan paras oksigennya turun naik. Doktor pun ada maklumkan kalau dalam masa dua ke tiga hari oksigen tak okay, suami kena masuk Unit Rawatan Rapi (ICU),” tulisnya di hantaran itu.
Ibu kepada cahaya mata kembar itu juga memberitahu tidak berhenti berdoa agar suaminya tidak dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kalau boleh, saya memang tak nak suami dimasukkan ke ICU. Ya Allah, saya tak tahu nak cakap macam mana perasaan pada ketika itu. Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya yang tak senang duduk,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Eina juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan suaminya sepanjang menerima rawatan.
“Sekarang suami sudah pulang ke rumah. Mungkin juga daripada doa-dia anda yang Allah makbulkan. Syukur Alhamdullilah,” tulisnya.
Terdahulu, media melaporkan keadaan kesihatan suami kepada Eina yang disahkan positif Covid-19 semakin serius apabila paras oksigennya menurun sehingga dia perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.
Sebelum ini, Eina memaklumkan dia, suami serta dua orang pembantu rumahnya disahkan positif Covid-19. – Malaysiapost

