Sekat kebebasan media langkah ke belakang – Salahuddin

0
1

SEKATAN terhadap beberapa agensi media bagi membuat liputan sidang Parlimen yang akan bermula Isnin ini dilihat sebagai langkah ke belakang dan bersifat berat sebelah.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata suara dan peranan agensi media dalam menyampaikan berita serta maklumat kepada masyarakat tidak sepatutnya dikawal dan ditapis-tapis.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, peranan media sangat penting untuk menjadikan masyarakat lebih cakna dan peka.

“Apakah yang ditakutkan oleh kerajaan?

“Hampir dua tahun, kebebasan pergerakan kita tersekat dan hidup terkepung dengan pelbagai versi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rakyat mulai bosan dengan keadaan yang seperti tiada penghujungnya.

“Kini adakah kerajaan ingin menyekat pula kebebasan maklumat dan akses media? soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Dewan Rakyat adalah tempat semua permasalahan rakyat dibentangkan, tetapi media-media terpilih sahaja yang boleh buat liputan.

“Di mana asas kebebasan bersuara dan laungan ‘Keluarga Malaysia’ yang dicanang, dalam masa sama, kita lihat hanya ‘Keluarga Kami’ yang banyak dalam agenda kerajaan.

“Tidak sepatutnya pandemik Covid-19 dijadikan alasan semata-mata. Kita semua dengar kenyataan Menteri Kesihatan tentang bagaimana kita kini menuju ke fasa endemik dan harus menyesuaikan diri hidup dengan virus ini.

“Namun, kelihatannya, pihak kerajaan sendiri yang tidak bersedia. Cukup-cukuplah berselindung disebalik perisai Covid-19,” katanya.

Salahuddin berkata, rakyat kini melihat tindak tanduk kerajaan sekarang seperti melangkah ke belakang iaitu pada zaman media dikawal ketat.

“Bahkan sekarang mungkin akan jadi lebih teruk berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Hentikan diskriminasi terhadap agensi media. Berikan hak sama rata dan jangan pilih kasih.

“Saya menyarankan Menteri Komunikasi baru ini sudi duduk bersama badan-badan yang mewakili ‘orang-orang media’ ini. Jangan ada berat sebelah. Menjalankan tugas perlu amanah dan saksama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here