Majikan rakam video pekerja wanita dalam tandas

0
2
Polis Di Raja Malaysia

SEORANG majikan ditahan selepas dipercayai merakam video di dalam tandas wanita di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya, pada Rabu lalu.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan selepas seorang pekerja wanitanya membuat laporan polis susulan menemui telefon bimbit suspek yang merakam ketika pekerja berusia 30 tahun berkenaan berada di dalam tandas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Fakhruddin Abdul Hamid, berkata polis menerima laporan dibuat mangsa iaitu wanita warga tempatan pada jam 2.30 petang Rabu lalu.

“Mangsa mendakwa majikannya telah merakam kelakuannya di dalam tandas dengan menggunakan telefon bimbit milik suspek.

“Mangsa telah bekerja selama enam tahun sebagai pembantu klinik di klinik berkenaan dan menyatakan bahawa ketika masuk ke tandas pada hari sama kira-kira jam 2 petang telah ternampak sebuah telefon bimbit berada di kedudukan tinggi dalam keadaan kamera terbuka.

“Wanita terbabit terus mengambil telefon berkenaan dan mengecam ia adalah milik majikannya. Mangsa yang terkejut, malu dan terganggu dengan kejadian itu kemudian bertindak mencapai beg tangan dan ingin keluar dari klinik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan mangsa yang ingin keluar dari klinik secara tergesa-gesa disedari suspek dan terus dihalang serta suspek meminta di pulangkan telefon bimbitnya.

“Suspek berjanji akan memghapuskan rakaman tersebut di hadapan mangsa dan mangsa menyerahkan kembali telefon berkenaan kepada suspek.

“Suspek juga telah menunjukkan perbuatan ‘delete’ di hadapan mangsa tetapi mangsa tidak nampak apa yang dihapudkan oleh suspek,” katanya.

Mohamad Fakhruddin berkata, berdasarkan risikan maklumat, pada hari sama jam 7.30 malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menahan suspek di kawasan Petaling Jaya.

“Telefon bimbit jenis Redmi MI 9T Pro milik suspek juga dirampas untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 509/377D Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan majikan terbabit boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here