HANYA dua lokasi sekatan jalan raya (SJR) di daerah Petaling Jaya ditutup susulan daripada pengumuman kawasan Lembah Klang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata dua SJR yang ditutup itu adalah membabitkan SJR di Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kanagapuran yang terletak di bawah laluan Lebuhraya Pantai Baru (NPE).
“Susulan daripada pengumuman terkini berkenaan PPN Fasa 2 bagi kawasan Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa hari ini, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya akan menutup dua lokasi SJR berkenaan.

“Walau bagaimanapun lokasi SJR yang sedia ada akan terus di kekalkan antaranya adalah di Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh PPN Fasa 2 di daerah Petaling Jaya khususnya.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terlalu leka dengan beberapa kelonggaran yang diberi sehingga mengabaikan SOP dalam mengawal dan mencegah wabak Covid-19.

“Kerjasama erat daripada semua lapisan masyarakat amat diharapkan bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

