KPDNHEP pantau harga ayam

0
4

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau harga ayam di setiap rantaian pengedaran seluruh negara demi manfaat pengguna dan peniaga.

Dalam satu kenyataan hari ini KPDNHEP memaklumkan, pihak kementerian memandang serius isu kenaikan harga barang keperluan asas seperti ayam dan telur yang dilaporkan sejak kebelakang ini.

Pihak kementerian juga tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan akta seperti Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 jika keadaan memerlukan.

“Kementerian akan terus memantau pergerakan harga ayam sepanjang masa. Mana-mana peniaga yang didapati mencatut atau mengaut untung tinggi yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011.

“Sebanyak 291 Notis bertulis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah dikemukakan kepada peniaga untuk mendapatkan perincian maklumat transaksi jualan, kos bagi mengesan aktiviti peningkatan harga dan kesalahan mencatut.

“Untuk makluman harga ayam dan telur tidak termasuk dalam senarai barang kawalan kecuali pada musim-musim perayaan utama di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

KPDNHEP mendapati berlaku kenaikan harga barangan keperluan berkenaan yang disebabkan berlaku peningkatan kos di setiap peringkat pembekalan.

Menurutnya, perincian maklumat kos sedang diperoleh dan disiasat bagi mengesan punca sebelum sesuatu tindakan kawalan dilaksanakan.

“Pemantauan dan pemeriksaan turut dilaksanakan di peringkat makanan (dedak) ayam. Analisis awal mendapati, berlaku peningkatan terhadap kos bahan-bahan utama makanan ayam iaitu jagung, soya dan minyak sawit mentah.

“Dua bahan tersebut iaitu jagung dan soya merupakan item yang diimport 100 peratus dari negara luar,” katanya.

Dalam kenyataan sama, berdasarkan pemantauan terdapat 19 premis di Semenanjung yang menjual harga ayam melebihi RM10 sekilogram dengan tertinggi adalah di Pasar Gopeng iaitu RM11 sekilogram.

Menurut KPDNHEP, di Sabah harga purata ayam bersih standard adalah RM11.26 sekilogram dan harga paling tinggi adalah RM13.20 yang dijual sebuah premis di Sandakan.

“Kementerian akan terus memantau pergerakan harga ayam sepanjang masa dan mana-mana peniaga yang didapati mencatut atau mengaut untung tinggi yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here