
PENARIKAN balik kes-kes rasuah yang sedang dibicarakan di mahkamah, terutama membabitkan individu yang dikaitkan dengan politik adalah isu yang serius dan perlukan penjelasan tuntas daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata jika alasannya kerana kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan tidak berasaskan pertimbangan menyeluruh, maka ia akan dilihat dan dipersepsikan oleh rakyat.
Menurutnya, rakyat akan beranggapan SPRM tidak bersifat profesional dan wujud kepentingan politik dalam pendakwaan.
“Pergerakan Pemuda Umno Malaysia bersependapat dengan saranan dan pandangan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM agar SPRM tidak sesekali menjadi organisasi yang mudah dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Seharusnya apa yang berlaku di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berulang apabila beberapa kes yang melibatkan kepimpinan tertinggi parti politik sewenangnya ditarik balik ketika perbicaraan sedang berlangsung.
“Manakala musuh-musuh politik pula begitu mudah didakwa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, SPRM mesti dilihat bebas, profesional dan melangkaui sebarang pengaruh kuasa politik tidak kira siapa pun yang menjadi pemerintah.
Katanya, ia juga penting untuk mengelakkan persepsi rakyat bahawa tindakan SPRM dikaitkan dengan pepatah ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’.
“Justeru, SPRM mesti tampil memperjelaskan kepada rakyat secara tuntas apa jua isu berkaitan penarikan balik kes-kes rasuah.
“Terutamanya yang melibatkan tokoh-tokoh politik, agar tidak sesekali merencatkan segala usaha untuk membenteras dan memerangi gejala rasuah yang merupakan najis yang mampu menjadi barah yang menghancurkan negara,” katanya.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang, dalam satu kenyataan semalam menyatakan pendirian badan itu memandang serius berhubung isu penarikan balik kes-kes melibatkan individu tertentu semasa perbicaraan sedang berlangsung.
Abu Zahar berkata, berhubung isu penarikan balik kes terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, pihak LPPR telah mendapatkan pandangan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM. – Malaysiapost
