Banjir bukan halangan BSN Marudi salur bayaran BKC

0
2

BANJIR tidak menghalang Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Marudi di Sarawak terus beroperasi untuk menyalurkan bayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) Fasa 1 kepada penerima.

Situasi itu dikongsi Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menerusi Facebooknya sambil mengucapkan tahniah kepada bank berkenaan.

“BSN dan rakyat berpisah tiada. Tahniah BSN Cawangan Marudi, Sarawak yang terus beroperasi untuk penyaluran Bantuan Khas Covid-19 walaupun dalam situasi banjir. 

“Dikhabarkan juga beberapa penerima datang ke BSN Marudi menaiki sampan kerana paras air yang agak tinggi hari ini.

Apa-apa pun, pastikan keselamatan dijaga dan sentiasa mematuhi SOP,” katanya.

Bagi BKC Fasa 1, kerajaan telah memperuntukkan RM3.1 bilion untuk memanfaatkan hampir 10 juta rakyat.

Penyaluran telah pun bermula pada 6 September dan dijangka selesai pada 10 September ini.

Sementara itu Tengku Zafrul meminta penerima yang tiada akaun bank tidak bimbang kerana mereka boleh ke cawangan BSN terdekat dan mendapatkan bayaran secara manual di kaunter.  – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here