SUSULAN kebenaran beroperasi bagi penggiat industri kreatif, pelakon, Bront Palarae turut berharap kerajaan memberi kelonggaran kepada pengusaha gimnasium dan sektor sukan.
Perkara itu dinyatakan pelakon berusia 43 tahun itu menerusi ciapan di Twitter sebentar tadi, dipercayai sebagai reaksi terhadap dakwaan bahawa kerajaan lebih mementingkan industri hiburan.
“Kami di industri kreatif juga berharap agar pengusaha gim dan sektor sukan diberi kebenaran beroperasi. Kita faham erti kesusahan dan bersimpati dengan kesempitan orang lain.
“Semoga pihak pemerintah juga mengambil perhatian atas nasib mereka yang berada di dalam sektor ini,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menerusi Twitter memmpersoalkan kenapa gimnasium dan padang bola sepak di kawasan terbuka masih kekal ditutup sedangkan pawagam dibenarkan beroperasi.
“Nampaknya kerajaan lebih pentingkan industri hiburan dari industri sukan dan kesihatan rakyat Malaysia. Saya tidak menentang pembukaan semula pawagam.
“Cuma bantu mereka sebelum terlambat,” ciapnya semalam.
Sementara dalam satu ciapan berasingan, Bront menulis ‘terima kasih’ sambil menyebut nama Syed Saddid. – Malaysiapost

