Pengusaha teksi rayu boleh bawa lebih seorang penumpang

0
2

PENGUSAHA teksi merayu kerajaan melonggar prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan mereka membawa lebih daripada seorang penumpang.

Susulan beberapa SOP yang telah dilonggarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini, para pengusaha teksi juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara itu kerana ia dapat merancakkan kembali mata pencarian mereka.

Tinjauan Malaysiapost sekitar ibu negara hari ini mendapati rata-rata pengusaha teksi merintih dan berharap ada perkhabaran baik daripada kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali gus dapat memulihkan kelangsungan hidup mereka.

Pemandu teksi, Abdul Malek Md Nor, 60, berkata, kerajaan sepatutnya sudah boleh melonggarkan SOP dengan membenarkan teksi membawa lebih seorang penumpang.

“Kalau dapat tambah kepada dua atau tiga orang penumpang, sebab kebanyakan pengguna teksi ni bukannya bergaji besar, mereka ini menggunakan teksi ke tempat kerja dengan berkongsi.

“Jadi bila dapat kelonggaran ini, tidaklah membebankan mereka, dan kami pun ada pendapatan. Jika seorang, memang itu beban kepada pengguna dan tengoklah sekarang ini, kami susah mendapat penumpang dan ia menjejaskan rezeki kami,” katanya.

Berlainan pula dengan Abdul Rahim Isa, 54, yang berpendapat banyak masalah boleh diselesaikan jika kerajaan membenarkan teksi membawa lebih daripada seorang penumpang.

“Yang penting penumpang mesti lengkap dua dos vaksin, saya merayu kerajaan longgarkan SOP.

“Bayangkan kalau keluarga tu ada tiga orang, kami terpaksa suruh mereka naik teksi lain sebab SOP hanya benarkan seorang saja. Ini membebankan pengguna dan menyebabkan orang ramai tawar hati naik teksi. Jadi saya harap kerajaan tolong kami.

“Kami pun nak cari makan, nak pulihkan ekonomi kami, sewa teksi pun hampir RM40 sehari, kos minyak, gas lagi, memang sekarang tak cukup untuk bertahan,” katanya.

Sementara itu pemandu teksi dikenali sebagai Chandru, 50, pula berharap kelonggaran SOP dapat memulihkan pendapatan mereka yang terjejas ketika ini.

“Kalau dulu boleh dapat sehari RM200, RM300 tapi sekarang nak dapat RM50 pun susah. Apa boleh buat, kita pun tahu kerajaan bukan suka-suka buat macam ini, jadi kita pun sabar.

“Tapi sekarang banyak sudah longgar, jadi saya rayu kerajaan lihat nasib pemandu teksi. Kita pun tahu Covid-19 bahaya, tapi kerajaan boleh bagi lebih seorang penumpang dengan letak syarat pastikan penumpang lengkap dua dos vaksin.

“Kalau tak lengkap vaksin jangan benarkan, kita pun takut dan kesihatan kena jaga,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, MKN membenarkan jumlah penumpang di dalam kenderaan bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan di negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, kelonggaran itu tidak melibatkan bilangan penumpang dalam teksi dan kenderaan e-hailing yang dihadkan kepada dua orang termasuk pemandu, dan penumpang harus duduk di bahagian belakang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here