LPPR pandang serius isu penarikan kes SPRM

0
2

LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) memandang serius berhubung isu penarikan balik kes-kes melibatkan individu tertentu semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata LPPR tidak bertolak ansur dalam hal tersebut demi menjaga imej, kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Berkaitan penarikan balik kes terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, LPPR telah mendapatkan pandangan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.

“LPPR mengambil maklum bahawa penarikan balik kes berkenaan berasas fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan.

“Namun begitu, LPPR berpandangan terdapat elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh,” katanya.

Abu Zahar berkata oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus dan tidak profesional serta lebih menjurus kepada kepentingan politik, menyebabkan pengurusan SPRM sekarang terpaksa menanggung implikasinya.

“Saya dan kesemua ahli jawatankuasa LPPR SPRM tidak mahu SPRM dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu, kita tidak mahu terus berulang. Prinsip semak dan imbang yang diamalkan sekarang hendaklah dilaksanakan dengan bijak, telus dan bertanggungjawab serta penuh integriti,” katanya.

LPPR merupakan satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM yang diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here