KERAJAAN Negeri Selangor didesak bertindak lebih keras dengan menjalankan operasi membanteras kilang haram di pinggir sungai di Selangor.
Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr Asmah Razalli berkata, ia perlu kerana rakyat Selangor ketika ini melihat kerajaan negeri mengamalkan dasar ‘pilih kasih’ antara penduduk tempatan dengan golongan pemain industri.
“Rakyat susah sehingga membersihkan diri pun masalah. Kasihanilah rakyat yang mengundi kerajaan Selangor dan bukannya menjaga hati pihak pihak tertentu.
“Rakyat sudah cukup sengsara dengan bekalan air yang kerap putus ditambah pula sesetengah kawasan di Selangor yang tidak menerima bekalan bantuan air mencukupi dari tangki air bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Asmah berkata, rata-rata rakyat Selangor kecewa dengan sikap pilih kasih memandangkan rumah penduduk tempatan di beberapa kawasan penempatan kampung Melayu di Selangor dirobohkan, baru baru ini.
Katanya, isu pencemaran itu juga mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor yang mahu tindakan segera diambil demi keselamatan dan kemaslahatan penduduk Selangor.
“Sultan Sharafuddin menitahkan supaya kerajaan negeri mengambil beberapa tindakan kerana baginda khuatir sekiranya masalah air berterusan, rakyat akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan seterusnya menjejaskan keharmonian sosial.
“Yang di-Pertuan Agong menyifatkan pencemaran Sungai Gong sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan mendatangkan kemudaratan rakyat,” katanya.
Tambahnya, beliau kesal dan hairan dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor memberi tempoh yang agak panjang kepada kilang haram yang bertanggungjawab mencemarkan bekalan air dan menyebabkan gangguan bekalan.
“Jangan menyusahkan rakyat Selangor, hapuskan kilang haram, hukum pihak tidak bertanggunjawab dengan garang tanpa memberi pelbagai alasan,” ujarnya. -Malaysiapost

