Fitri Nizam
SEORANG lelaki warganegara asing maut selepas dipercayai dipukul menggunakan tukul besi oleh rakan sekerja dalam satu pergaduhan di pusat jagaan orang tua di Petaling Jaya, hari ini.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun berkenaan adalah pekerja di pusat jagaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek adalah seorang lelaki warganegara India berusia 30 tahun.
Katanya, suspek baru saja sebulan bekerja di pusat jagaan berkenaan.
“Anggota kereta peronda polis (MPV) segera ke lokasi selepas mendapat maklumat, justeru, polis berjaya menahan suspek yang ketika itu sedang memegang tukul besi.
“Polis juga mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Nik Ezanee berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan bedah siasat terhadap mangsa akan dilaksanakan esok.
“Suspek direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

