995 pengembara positif Covid-19

0
2

SEBANYAK 995 kes Covid-19 dikesan daripada 119,268 pengembara yang tiba di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah tersebut, 742 kes dikesan semasa saringan ketibaan dan 253 kes daripada ujian kedua pada hari ke-13.

“Susulan kenaikan kes import Covid-19 dalam negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membangunkan matriks penilaian risiko ke atas negara-negara di dunia bagi mengukur risiko pengimportan jangkitan Covid-19 ke Malaysia.

“Ini penting dalam membuat keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kawalan sempadan antarabangsa. Setiap negara dinilai berdasarkan kriteria tertentu dan diletakkan dalam kategori risiko tertentu,” katanya.

Beliau berkata, hasil penilaian ke atas 23 negara yang dikenakan sekatan perjalanan ke Malaysia, mendapati ia mempunyai risiko tinggi membawa masuk jangkitan Covid-19 ke dalam negara.

“Kriteria penilaian risiko pengimportan jangkitan Covid-19 adalah berdasarkan Scoring Board (Sistem Merit) yang dibangunkan KKM dengan menguna pakai sumber data dari European Centre for Disease Prevention and Control (ECDC) dan Our World in Data,” katanya.

Enam kriteria dikenal pasti adalah bilangan kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari; kadar insiden per satu juta penduduk dalam tempoh 14 hari; kadar kematian 14 hari kebelakangan per satu juta penduduk; kadar kematian kes kumulatif; Indeks pemulihan dan Kes kumulatif Covid-19 melebihi 150,000 kes.

Beliau berkata, penilaian risiko ini adalah satu mekanisma menilai risiko Covid-19 sesebuah negara.

“Masih terdapat kriteria lain yang perlu diteliti seperti polisi pengesanan kes Covid-19 bagi negara terbabit yang memberi implikasi langsung kepada jumlah kes semasa yang dikesan dan dilaporkan,” katanya. -MalaysiaPost