MAHKAMAH Majistret Kota Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang penyelia kontrak di Kompleks Bersepadu Pengerang selepas mengaku bersalah memperdaya rakan sekerja bagi mendapatkan sumbangan pada 3 September lalu.
Tertuduh, Mohd Zahazan Zainon, 45, turut didenda RM16,000 dan dua sebatan selepas membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didapati menipu rakan sekerja dengan cara memperdaya mengatakan ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19, sedangkan ia tidak benar.
Ia mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan mengatakan hal sama sehingga mendorong mangsa memasukkan RM500 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.
Kedua-dua kesalahan dilakukan pada 3 September lalu antara jam 5.20 petang hingga 9.25 malam di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, peguam Nurul Hidayah Mohd Asri yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana ia kesalahan pertama dan tertuduh menanggung empat anak hasil perkahwinan terdahulu serta dua anak yang masih bersekolah di pusat tahfiz.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nursyamim Fateha Mohd Amin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.
Nurmadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 dan satu sebatan terhadap kesalahan pertuduhan pertama. Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lima bulan.
Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 dan satu sebatan. Jika gagal bayar denda tertuduh boleh dipenjara sebulan.
Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.
Pada 4 September lalu, dia ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19 dan meraih sumbangan sejumlah RM91,000. – Malaysiapost

