“SAYA berasa benci, dendam, marah dan takut. Saya tahu mereka sudah tiada dan tidak dapat bertemu lagi,” luah Ria Van der Steen.
Beliau adalah ahli keluarga kepada 298 mangsa terkorban dalam tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 2014.
Van der Steen berkata demikian ketika menjadi saksi pertama memberi keterangan di mahkamah dalam perbicaraan insiden itu di Belanda, semalam.
Dia yang kehilangan bapanya, Jan dan ibu tiri, Nell dalam tragedi itu, berkata, dia mengalami mimpi buruk seperti berjalan melalui serpihan untuk mencari bapanya selepas tragedi itu
“Saya tidak boleh titipkan selamat tinggal (terhadap mangsa) sehingga pihak bertanggungjawab didapati bersalah atas tindakan mereka,” katanya.
Terdahulu, ahli keluarga 298 mangsa terkorban dalam tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 2014, kini menuntut keadilan dari Rusia.
Tuntutan itu dibuat ketika mereka memberi keterangan buat pertama kali dalam perbicaraan terhadap empat suspek di Belanda, semalam, lapor Al Jazeera.
Ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terbunuh dalam tragedi pada 17 Julai 2014, menyatakan mereka tidak dapat berhenti meratapi kehilangan orang tersayang sehingga pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Pesawat Boeing 777 ditembak jatuh ketika dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.
Pasukan penyiasat antarabangsa berkata, pesawat milik Malaysia Airlines itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu buatan Rusia oleh pemberontak pro-Moscow dari timur Ukraine, namun Rusia menafikan penglibatan itu.
Di bawah undang-undang Belanda, ahli keluarga dan waris dibenarkan untuk membuat kenyataan impak mangsa di mahkamah tanpa diajukan pertanyaan.
Kira-kira 90 waris mangsa tragedi dijangka memberi keterangan dalam tempoh tiga minggu akan datang termasuk individu bercakap menerusi pautan video secara langsung dari luar negara.
“Selain keputusannya, saya rasa ini adalah hari yang paling penting bagi ahli keluarga mangsa kerana mereka dapat bercakap di mahkamah, dengan suspek dan pihak yang bertanggungjawab walaupun di mana sahaja mereka bersembunyi.
“Jadi, ini adalah satu bentuk komunikasi dengan pihak bertanggungjawab terhadap tragedi ini,” kata peguam yang mewakili keluarga mangsa, Peter Langstraat. – Malaysiapost
Kredit Foto: Ukrin Form

