Umno sokong sebarang keputusan PM – Zahid

0
2

UMNO berpendirian menyokong sebarang keputusan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia bermakna parti menyerahkan kebijaksanaan kepada Naib Presiden Umno itu sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan yang dirasakan sesuai dalam pentadbiran negara.

Menurutnya, sokongan itu juga termasuk berhubung pembentukan Jemaah Menteri dan pelantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri.

“Pendirian parti ini juga boleh ditakwilkan bahawa Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan hari ini mempunyai kuasa-kuasa Perlembagaan dan sehubungan itu, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik.

“Umno konsisten dalam pendiriannya. Kita telah pun memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dan pelbagai komen mengenai pendirian Umno dalam pembentukan Jemaah Menteri dan pelantikan Pengerusi MPN.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam memenuhi keperluan rakyat, manakala parti pula akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat.

“Selaku ketua parti, saya akan terus berusaha memperkasakan Umno selaras dengan mandat Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Fokus kita tidak pernah lari daripada untuk terus berusaha memantapkan perjalanan parti khususnya dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Menurutnya, dua mandat besar akar umbi melalui ketetapan PAU dan MKT, adalah kerajaan hari ini bersifat sementara dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan selepas imuniti kelompok diperoleh bagi membolehkan kerajaan yang stabil dan dipilih rakyat dibentuk.

“Keduanya, kehendak akar umbi agar kerusi-kerusi tradisi Umno dan kerusi-kerusi yang dikhianati pada PRU-14 tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi.

“Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya setelah parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehingga pandemik mulai reda, kerajaan dan parti akan saling melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.

“Terlalu banyak hikmah Allah takdirkan Umno hilang kuasa pada PRU lalu untuk kita muhasabahkan. Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan.

“Kepada Allah jualah kita berserah dan mengharapkan petunjuk demi meneruskan agenda perjuangan untuk membela rakyat dan mensejahterakan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here