DEWAN Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) meminta kerajaan supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi perlu menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) menangani Covid-19.
Cadangan itu dinyatakan ACCCIM kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam perbincangan secara maya bersama kepimpinan baharu gabungan itu bagi membincangkan mengenai pelbagai perkara antaranya Belanjawan 2022, semalam.
Ka Siong berkata, ACCCIM juga menggesa kerajaan supaya lebih telus dan menyediakan statistik yang berkenaan, menambahbaik sistem kesihatan negara serta memperkukuhkan kemampuan negara untuk menghadapi pandemik.
“Menyentuh ekonomi domestik, gabungan itu juga mencadangkan kerajaan agar memperkenalkan pelbagai subsidi atau bantuan; pengurangan dan pengecualian cukai bagi meringankan beban rakyat dan perusahaan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, masyarakat juga harus bersedia untuk hidup bersama Covid-19 pada masa depan kerana pandemik itu telah mengubah kehidupan harian, termasuk pelbagai ekosistem industri dan trend pembangunan.
“Oleh itu, kita akan meneruskan pemantauan terhadap pembangunan pasaran, melaksanakan dasar-dasar mesra pelabur asing serta membantu dalam pemulihan dan merangsang industri tempatan.
“Pada masa sama, memastikan projek infrarakyat seperti ECRL, RTS dan MRT3 dapat dibangunkan sepenuhnya, supaya ia mampu membawa lebih banyak manfaat ekonomi kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mendengar suara semua pihak dan berusaha mencapai kesimbangan antara kesihatan, masyarakat dan ekonomi, melalui pengumuman Belanjawan2022 yang komprehensif dan inklusif, selari dengan semangat Keluarga Malaysia. – Malaysiapost

