SEBANYAK 45 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini setakat jam 12 tengah hari tadi, 44 adalah penularan tempatan dan satu kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini 9,628 dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 333 kes.
“Kes import tersebut dilaporkan di Selangor iaitu warga Malaysia yang pulang dari Brazil.
“Daripada 44 kes penularan di dalam negara, 11 adalah di kalangan warganegara Malaysia dan 33 adalah bukan warganegara,” katanya.
Beliau berkata, daripada 44 kes dalam negara, 40 membabitkan Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah dan empat kes di Kedah iaitu satu Kluster Sungai, dua dari Kluster Telaga dan satu kes saringan bergejala di Klinik Kesihatan Simpang Kuala.
Katanya, sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Namun, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah kekal sebanyak 128 kes,” katanya. – MalaysiaPost

