MKN bincang penyesuaian SOP endemik dengan 4 kementerian

0
2

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan pertemuan dengan empat kementerian bagi membuat keputusan bersama tentang penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran seterusnya dalam menuju fasa endemik.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata perkara itu selaras dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 September lalu.

Katanya, empat kementerian yang bakal bekerjasama dengan MKN ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Perdana Menteri bersetuju supaya saya selaku Menteri Kanan Pertahanan yang mengetuai MKN turut melibatkan tiga lagi Menteri iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

“Sehubungan itu, saya akan memanggil ketiga-tiga menteri dalam masa terdekat untuk memulakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenainya, Hishammuddin berkata, sebagai persediaan ke arah fasa endemik, kerajaan sedang meneliti kelonggaran bersesuaian bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baharu.

Namun pada masa sama, katanya, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Seperti saya nyatakan semasa sidang media pada 2 September, negara sedang menuju ke arah endemik. Saya setuju dengan Menteri Kesihatan, bahawa peralihan ke fasa endemik akan bermula pada hujung Oktober.

“Kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor.

“Bagi menetapkan kelonggaran-kelonggaran berkenaan, banyak faktor perlu diambil kira kerana ia melibatkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin menegaskan, MKN diarah untuk terus mengemaskini SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terlibat sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here