DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berharap Bantuan Khas Covid-19 (BKC) fasa satu yang mula disalurkan hari ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban “Keluarga Malaysia” yang terkesan akibat pandemik itu.
Perdana Menteri berkata pagi ini beliau berpeluang meninjau secara maya proses pembayaran BKC fasa satu, yang dilaksanakan secara berperingkat menerusi institusi kewangan terpilih melibatkan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion.
“Saya berkesempatan bertanya khabar dengan penerima BKC di beberapa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) termasuk di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis dan Johor secara dalam talian untuk memastikan proses pembayaran bantuan itu berjalan lancar.
“Dalam sesi itu, saya juga mendapatkan laporan secara langsung daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang turun padang meninjau proses pembayaran di BSN Putrajaya, manakala timbalannya, Datuk Mohd Shahar Abdullah di BSN Triang.
“Saya dimaklumkan Kementerian Kewangan akan mempermudahkan urusan pengagihan kepada masyarakat pedalaman dengan pembayaran tunai kepada mereka yang tidak memiliki akaun,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Pengkreditan bayaran bagi fasa satu BKC dijangka mengambil masa beberapa hari sehingga 10 September ini.
BKC merupakan sebahagian inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.
Pada 28 Jun 2021, kerajaan mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

