PM patut ambil peluang benarkan undi percaya – Nik Nazmi

0
3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya mengambil peluang membenarkan usul undi percaya terhadapnya pada sidang Parlimen 13 September ini, bagi membina keyakinan semua pihak berkaitan keabsahannya.

Perkara itu dijelaskan Ahli Parlimen Titiwangsa, Nik Nazmi Nik Mohamad yang berkata, Ismail Sabri sepatutnya tidak mencontohi cara bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membelakangi Parlimen.

Katanya, Ismail Sabri perlu mengambil peluang di awal pentadbirannya untuk membuka lembaran baharu dalam membina kepercayaan dan keyakinan semua pihak, sebagaimana dibuat dalam pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tempoh hari.

Bagaimanapun, menurut Nik Nazmi, kenyataan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun yang bertentangan dengan titah Yang di Pertuan Agong menimbulkan tanda tanya dan spekulasi terhadap sokongan majoriti diterima Ismail Sabri ketika ini.

“Peguam Negara mengatakan Ismail Sabri tidak perlu buat undi percaya di Parlimen. Ini bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda sebelum ini, selepas Muhyiddin meletak jawatan.

“Namun dengan pelantikan Kabinet yang mengekalkan sebahagian besar watak-watak yang gagal, termasuk Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, dan keengganan melakukan undi percaya boleh disimpulkan ada dua kemungkinan.

“Iaitu Ismail Sabri tidak yakin sokongan BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuknya di dalam Parlimen.

“Kedua, Ismail Sabri langsung tidak mahu mempertimbangkan sebarang penambahbaikan yang dicadangkan PH,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi menjelaskan, sebelum ini PH selaku blok pembangkang terbesar telah menyatakan kesediaan memberi komitmen tidak menyulitkan proses undi percaya untuk pentadbiran Ismail Sabri, dengan syarat beliau melaksanakan agenda penambahbaikan dan dasar-dasar bersifat pro-rakyat.

“Sekalipun tidak diadakan undi percaya, Ismail Sabri akan berhadapan undi Ucapan Titah Tuanku dan Belanjawan yang dilihat sebagai menyamai undi percaya juga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here