PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) Reset Malaysia merayu kepada Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar membuat penstrukturan semula Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Pengarahnya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata ini kerana pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MPN bercanggah dengan cadangan mereka sebelum ini yang mahu ia diketuai pakar tanpa sebarang imbuhan.
“Ini susulan daripada apa yang kami persembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara beberapa minggu lalu berkenaan penstrukturan MPN.
“Minggu lalu kerajaan mengumumkan pelantikan Muhyiddin yang diumumkan Pengerusi MPN oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali.
“Kami melihat pelantikan itu bercanggah dengan apa yang kami cadangkan selama ini,” katanya dalam sidang media di luar pekarangan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja di ibu negara hari ini.
Terdahulu NGO itu menyerahkan memorandum memohon limpah Perkenan Majlis Raja-Raja bagi penstrukturan semula MPN.
Sementara itu Ketua Sekretariat Reset Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi Abu Hafiz melahirkan rasa kecewa dengan pembentukan semula MPN dianggotai muka-muka lama daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini gagal menangani Covid-19.
“Watak sama dan diberi taraf menteri adalah sesuatu yang cukup mengecewakan sedangkan MPN dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dianggotai oleh majoriti pakar dalam bidang masing-masing dan mereka tidak berbayar.
“Mereka hadir bertugas memberikan cadangan secara percuma berbanding yang cuba dibentuk oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kerangka kerja hari ini tidak sama dengan (dicadangkan) Tun Dr Mahathir. Kalau ikut format lama, lebih kurang 10 menteri Kabinet di dalamnya,” katanya lagi. – Malaysiapost

