SESI pembelajaran dan pengajaran (PDP) bersemuka yang bakal dibuka semula pada 3 Oktober ini wajar dibenarkan hanya kepada pelajar calon peperiksaan awam 2021 sahaja.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sebaiknya Kementerian Pendidikan (KPM) hanya membuka semula sekolah untuk pelajar SPM, STPM dan STAM sahaja.
Bagaimanapun, Dr Anuar berkata, KPM wajib mengenakan beberapa syarat termasuk semua individu yang terlibat telah menerima dos lengkap vaksin dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di sekolah.
“Semua murid tahun peperiksaan telah lengkap dua dos vaksin dan telah melepasi 14 hari selepas tarikh vaksinasi kedua.
“Semua guru-guru yang mengajar tahun peperiksaan, pekerja pejabat sekolah, pekerja kantin, pengawal keselamatan sekolah dan pemandu bas telah lengkap dua dos vaksin dan telah melepasi 14 hari vaksinasi kedua.
“Semua ibubapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan murid-murid tahun peperiksaan telah lengkap dua doktor vaksin dan melepasi 14 hari vaksinasi kedua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Anuar juga berpendapat, pembukaan sekolah secara bersemuka ini boleh dilaksanakan di semua negeri walaupun tidak semua negeri berada dalam status fasa Pelan Pemulihan Negara (PMN) yang sama.
Namun, Dr Anuar menjelaskan, KPM perlu memperincikan prosedur operasi standard (SOP) yang meliputi semua aspek dalam usaha melindungi semua pihak dijangkiti wabak ini.
“Tak kiralah sekolah di negeri fasa satu, dua, tiga atau empat. Tak ada beza besar pun antara fasa-fasa ini sekarang.
“KPM mestilah telah selesai membentangkan pada rakyat SOP terkini pembukaan sekolah yang merangkumi, SOP keluarga, SOP perjalanan pergi dan balik sekolah dan SOP dalam kawasan sekolah yang detail, jelas dan boleh difahami dengan mudah,” katanya.
Sementara itu, Dr Anuar menegaskan, murid-murid lain yang tidak menghadapi peperiksaan tahun ini wajar meneruskan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sehingga hujung tahun ini atau kes Covid-19 telah turun ke angka yang dianggap selamat dan terkawal oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagi guru-guru yang berkeras tidak mahu vaksin, mereka bolehlah diarahkan mengajar secara PdPR pada pelajar bukan tahun peperiksaan,” katanya. – Malaysiapost

