TANPA jurulatih saya, saya tidak mungkin dapat mencapai tahap ini sebagai pemain badminton, demikian kata Cheah Liek Hou.
Liek Hou yang baru meraih pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak teragak agak mengucapkan penghargaan terima kasihnya kepada jurulatih, Datuk Abdul Rashid Sidek yang telah membimbingnya ke kemuncak kejayaan.
Sememangnya sentuhan Rashid membuahkan hasil kerana telah berjaya membentuk Liek Hou sebagai bintang yang disegani dalam dunia badminton paralimpik.
Juara dunia enam kali itu menepati ramalan apabila menjadi pemenang pertama pingat emas negara menerusi badminton selepas mengatasi wakil Indonesia, Dheva Anrimushti dalam final Sukan Paralimpik Tokyo 2020, semalam.
Bermula di peringkat kumpulan, Liek Hou tangkas mempamerkan segala ilmu yang diturunkan Rashid sehingga muncul juara dalam aksi final.
“Saya berasakan pencapaian ini cukup istimewa kerana berjaya mencipta sejarah meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik bagi acara badminton,” kata Liek Hou dipetik Astro Arena.
Sementara itu, Rashid yang juga lagenda badminton negara turut berkongsi perasaannya terhadap kejayaan Liek Hou itu.
“Ketika bergelar pemain saya berjaya meraih pingat gangsa dan kini bergelar sebagai jurulatih, saya berjaya melahirkan seorang pemenang pingat emas Sukan Paralimpik. Ia merupakan sesuatu yang amat membanggakan bagi saya,” kata Rashid.
Mengimbas 25 tahun yang lalu, Rashid muncul pemain badminton perseorangan pertama negara menyumbangkan pingat dalam acara itu di temasya Olimpik.
Kejayaan memenangi pingat gangsa pada Atlanta 96 itu telah menjadi sumber inspirasi kepada Liek Hou yang akhirnya memahat sejarah baru menjadi warga Malaysia pertama memenangi pingat emas di pentas Paralimpik. – Malaysiapost

