Noda 34 kanak-kanak, pedofilia antarabangsa warga Malaysia dipenjara

0
1

SELEPAS dua tahun menjadi buruan pihak berkuasa Australia, seorang pedofilia warga Malaysia diberkas dan disabitkan di Mahkamah Kuching, Sarawak kerana melakukan serangan seksual terhadap sekurang-kurangnya 34 kanak-kanak berusia dua hingga 16 tahun.

Kejayaan mengheret Alladin Lanim, 40, kemuka pengadilan dan menerima hukuman 48 tahun penjara serta 15 sebatan pada 17 Ogos lalu, disifatkan kejayaan penting memerangi serangan seksual terhadap mangsa bawah umur, lapor Sydney Morning Herald.

Alladin mengaku bersalah terhadap 18 pertuduhan jenayah seks kanak-kanak yang dilakukannya.

Menurut Sydney, pegawai penyiasat khas dari Polis Persekutuan Australia (AFP), Polis Queensland serta Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Australia (Austrac) memainkan peranan penting dalam usaha memberkas Alladin yang melakukan kegiatannya tanpa dikesan selama 14 tahun.

Detektif Daniel Burnicle yang juga pemangku pegawai kanan AFP di Kuala Lumpur, memberitahu akhbar berkenaan bahawa Alladin juga mencabul kehormatan kanak-kanak di ladang dan di sebuah rumah panjang di Lundu, Sarawak.

Katanya, tertuduh didakwa memaksa kanak-kanak berkenaan menonton video berbentuk pornografi selepas membenarkan mereka bermain permainan video di telefon bimbitnya.

Dalam laporan berkenaan, Alladin dikatakan bangga melakukan perbuatan terkutuknya dalam forum pemesejan dan memuatnaik aktivitinya itu di ‘dark web’, sekali gus mengundang tindakan polis Australia dalam siasatan selama dua tahun.

Nama Alladin Lanim juga disenarai dalam laporan dalaman polis pelbagai negara pada 2019 dan adalah antara 10 pesalah utama dikehendaki di dunia kerana eksploitasi terhadap kanak-kanak di internet.

Bagaimanapun, Burnicle berkata, Alladin sebenarnya sudah berkongsi bahan pencabulan kanak-kanak di laman web sejak 2007 dan selanjutnya dikaitkan dengan penyebaran lebih 1,000 imej dan video memaparkan pencabulan terhadap kanak-kanak.

“Dia seorang penjenayah yang sangat aktif mencari mangsa, justeru menjadikan penangkapannya sebagai keutamaan tertinggi (polis),” kata Burnicle.

Pada permulaan, polis tidak mempunyai banyak maklumat membabitkan Alladin, namun pada Ogos tahun lalu, pakar unit pencarian identiti Austrac akhirnya berjaya menjejak identiti sebenar lelaki itu.

Burnicle berkata, menjejak identiti pesalah membabitkan proses metodologi rumit yang membabitkan pelbagai imej serta lokasi.

“Kesemuanya begitu sulit lebih-lebih lagi apabila menjejak individu di ‘dark web’,” katanya.

Akhirnya, pasukan dari Austrac tahun ini berjaya menjejak Alladin.

Pada Julai lalu, Burnicle berkata, pihak berkuasa Australian menjejak Alladin di pusat kuarantin Covid-19, di Sarawak di mana beliau menjalani pengasingan mandatori setelah tiba dari Semenanjung Malaysia.

Dia akhirnya ditangkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 5 Julai lalu, selepas proses kuarantin itu tamat, kata laporan berkenaan.

Burnicle berkata, penyiasat Australia, yang mengemukakan bahan bukti kepada pihak pendakwaan di Kuching, mengenal pasti sekurang-kurangnya 34 mangsa serangan seksual Alladin, namun percaya jumlah mangsanya mungkin lebih tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here