SEMUA pengikut ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang diburu polis digesa tampil menyerah diri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menegaskan, polis kini sedang mencari pengikut ajaran sesat yang bertentangan dengan Islam itu selepas ketuanya yang digelar Sittah Annur ditahan semalam.
“Polis sudah mula menjalankan siasatan dan saya menasihatkan semua pengikut Sittah Annur menyerah diri dengan segera. Berdasarkan siasatan awal, pengikut ajaran PMYT hanya melibatkan satu kelompok kecil.
“Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan menghantar wakil untuk membantu siasatan kes tersebut bersama polis,” katanya yang dipetik Kosmo, hari ini.
Menurut Ahmad Marzuk, Jakim membentuk pasukan khas melibatkan individu yang pakar dalam aspek ajaran sesat dan segala keputusan mengenai dakwaan kesesatan ajaran PMYT akan diketahui selepas polis melengkapkan siasatan kes itu tidak lama lagi. – Malaysiapost

