Jabatan Peguam Negara jangan jadi punca ketegangan kerajaan-institusi raja

0
2

JABATAN Peguam Negara diingatkan tidak menjadi punca ketegangan hubungan antara kerajaan dengan institusi raja, kata Ketua Pemuda Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata, kejadian ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang mengabaikan titah pandangan Yang di Pertuan Agong supaya Parlimen dibuka semula dan Ordinan Darurat dibahas, tidak sepatutnya berulang.

Ahli Parlimen Sepanggar itu menambah, ketegangan hubungan antara kedua-dua pihak adalah sesuatu yang tidak baik untuk negara yang sedang bergelut memerangi wabak Covid-19.

“Nasihat saya kepada Jabatan Peguam Negara supaya tidak menjadi punca ketegangan antara kerajaan dan institusi raja kerana Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah supaya pelantikan perdana menteri diabsahkan segera di Parlimen.

“Baginda hanya minta apa yang termaktub dalam perlembagaan dipatuhi, kenapa Jabatan Peguam Negara cuba menidakkan titah baginda.

“Ikutlah apa yang sudah dititahkan baginda, hormatilah institusi raja,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada keperluan mengadakan undi usul percaya terhadap keabsahan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang Parlimen yang bakal diadakan 13 September ini.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, ini kerana pelantikan Ismail diperkenankan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya pelantikan perdana menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain Yang di-Pertuan Agong, ini bermakna kuasa mutlak baginda boleh diatasi pihak lain,” katanya.

Menurut Azis, tiada apa yang perlu dirisaukan Perdana Menteri sekiranya undi percaya dibuat, malah beliau yakin Ismail akan memenanginya, kecuali jika parti gabungan kerajaan berdepan masalah yang tidak diketahui umum.


“Pergolakan politik dalam negara kita kebelakangan ini bukan disebabkan blok pembangkang, tetapi hubungan mereka (parti kerajaan).


“Ini yang menyebabkan ketidakstabilan sehingga berlaku huru-hara politik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here