Kasut lama gagal bawa tuah pada Dek Wan pertahankan emas

0
2

MESKIPUN selesa memakainya, namun kasut lama itu tidak membawa tuah kepada Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam final 100 meter lelaki T36 (cerebral palsy) pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam.

Malah, kasut itu hampir membuat Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dek Wan terjatuh dalam saingan akhir acara itu.

Dek Wan yang terlepas untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Brazil telah memulakan pecutan dengan baik di Stadium Olimpik Tokyo dan dilihat berpotensi untuk menyambar pingat.

Namun, ketika menuju ke garisan penamat, atlet berusia 34 tahun itu secara tiba-tiba ‘tergelincir’ sebelum dipintas beberapa pencabar lain lalu menyaksikan atlet kelahiran Perlis menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan 12.15 saat (s).

Jurulatih kebangsaan, R. Jeganathan mengakui keputusan itu jauh daripada rekod peribadi terbaiknya, 11.87s, sekali gus terpaksa melepaskan pingat emas yang diraihnya ketika Sukan Paralimpik Rio 2016.

Jeganathan berkata, Dek Wan berdepan masalah terutama pada kasut ketika hendak melakukan pecutan terakhir.

“Saya akui dia berlumba dengan semangat yang baik hari ini (semalam) dan kalau kita tengok perlumbaan tadi, pada jarak 20 meter terakhir Dek Wan tiba-tiba perlahan.

“Dia memberitahu saya, kasut spikenya licin ketika cuba buka langkah selepas mendapati beberapa pesaing cuba memintasnya. Itu sebab dia dilihat perlahan pada penghujung perlumbaan.

“Saya tidak halang dia mahu guna kasut lama sebab ia boleh kacau mood dia. Itu pilihannya, lagi pun Dek Wan kata dia selesa menggunakan kasut itu,” katanya dipetik Kosmo, hari ini.

Pingat emas menjadi milik pelari China, Peicheng Deng dengan catatan 11.85s, sekali gus mencatat rekod baharu temasya.

Pelari Australia, James Turner yang dijangka meraih emas di Tokyo terpaksa berpuas hati dengan pingat perak (12.00s) dan gangsa menjadi milik pelari Argentina, Alexis Sebastian Chavez (12.02s). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here