Perak FC moved on, sasar juara Liga Premier musim depan

0
1

SKUAD Perak FC mahu memandang ke hadapan di sebalik kegagalan untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim 2022.

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh berkata pasukannya bingkas melakukan proses kebangkitan bermula dari sekarang dan menyasarkan untuk kembali ke Liga Super pada musim 2023.

“Proses untuk bangkit akan bermula dari sekarang dengan meletakkan sasaran kejuaraan Liga Perdana musim hadapan sekali gus kembali ke Liga Super musim berikutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Azman menjelaskan, Perak FC akan melakukan beberapa langkah menambah baik pasukan termasuk kontroversi isu penswastaan yang dikatakan menjadi punca utama kemerosotan pada kempen Liga Super kali ini.

“Proses penswastaan sepenuhnya juga akan dilakukan dan Perak FC akan membentangkan hala tuju pasukan dengan terperinci untuk jangka pendek dan panjang dalam masa terdekat ini.

“Ayuh kita sama-sama bangkit dengan lebih bergaya kerana ini bukan pengakhiran untuk Perak FC, sebaliknya ini permulaan untuk sesuatu yang hebat selepas ini,” katanya.

Azman turut memohon maaf kepada penyokong setia Kejor Yob Kejor kerana gagal menyelamatkan pasukan daripada terhumban ke Liga Perdana musim depan.

“Perak FC memohon maaf kepada penyokong dan peminat setia bola sepak Perak kerana gagal untuk mempertahankan rekod untuk berada dalam Liga Super tahun hadapan.

“Saya telah cuba sebaik mungkin untuk mempertahankan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang belum jatuh daripada Liga Super.

“Terima kasih atas sokongan berterusan daripada penyokong serta peminat dan diharapkan ia akan berterusan ketika pasukan berada di tahap paling rendah ketika ini,” katanya.

Perak yang bermula dari divisyen dua ketika Liga Semi Pro diperkenalkan pada 1989 telah muncul naib juara dan layak ke bahagian satu pada tahun berikutnya.

Sejak itu, Perak menjadi satu-satunya pasukan yang tidak pernah tergelincir ke liga bawahan termasuk ketika Liga Super diperkenalkan pada tahun 2004.

Namun, kempen 2021 menjadi peristiwa hitam kepada Perak FC yang terpaksa menelan kepahitan terhumban ke Liga Perdana setelah menduduki tangga kedua tercorot Liga Super musim ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here