
JUMLAH kes sembuh baharu Covid-19 sebanyak 21,582 kes yang dilaporkan hari ini lebih tinggi berbanding kes baharu direkodkan iaitu 19,057 kes.
Keadaan itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sejak wabak berkenaan melanda negara setakat ini adalah 1,550,254 kes atau 84.97 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di Malaysia iaitu 1,824,439 kes.
Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebooknya, jumlah kes kematian yang direkodkan hari ini adalah 362 kes menjadikan keseluruhan 17,883 kematian setakat ini.
Kematian baharu itu membabitkan 304 warganegara dan 58 bukan warganegara dengan 104 kes daripadanya adalah kematian luar hospital atau BID iaitu 69 warganegara dan 35 bukan warganegara.
Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini kes tempatan adalah 19,047 kes membabitkan 16,784 warganegara dan 2,263 bukan warganegara, manakala kes import hanya 10 kes iaitu empat warganegara dan enam bukan warganegara.
Sementara itu, jumlah kes yang masih aktif sehingga hari ini adalah sebanyak 256,302 kes
Kes yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 978 kes dan seramai 460 pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan. – Malaysiapost
