KPM adakan sesi libat urus PIBG, guru di Perlis sebelum sekolah buka

0
3

MENTERI Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru serta pengetua dan guru besar seluruh Perlis, hari ini.

Pertemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan ibu bapa tentang persekolahan anak-anak di negeri yang telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Beliau berharap, inisiatif itu dapat membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memuktamadkan kerangka komprehensif pembukaan dan pengoperasian sekolah.

“KPM akan sentiasa memberi penekanan terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar.

“Berilah kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan yang terbaik demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, sesi libat urus berkenaan membabitkan dua sesi iaitu bagi sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Kami hargai perkongsian pengalaman serta pandangan guru berkaitan pengajaran dan pembelajaran anak didik mereka serta pembukaan sekolah secara bersemuka.

“Apa jua yang dilaksanakan semuanya demi kebaikan untuk anak didik mereka. Segala input yang dikongsikan akan kami teliti satu persatu.

“Apa yang penting, setiap keputusan yang kami ambil pastinya dibuat berdasarkan analisis terperinci,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here