KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 89 peratus katil unit rawatan rapi (ICU) digunakan di hospital Covid-19 di seluruh negara setakat semalam.
Beliau berkata, kadar penggunaan katil ICU di negeri Kedah adalah paling tinggi sehingga sehingga melebihi kapasiti, iaitu sebanyak 128 peratus.
Berdasarkan data yang dikongsikan di Facebook, penggunaan katil ICU di Sabah dan Perak juga melebihi kapasiti, iaitu masing-masing sebanyak 110 dan 106 peratus.
Ketiga-tiga negeri tersebut merupakan antara negeri mencatatkan kadar vaksinasi paling rendah, dengan hanya 41.5 peratus populasi dewasa di Sabah yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam, manakala Kedah (47.9 peratus) dan Perak (48.9 peratus).
Sementara itu, kadar penggunaan katil bukan ICU di hospital-hospital Covid-19 di seluruh negara pula berada pada 76 peratus.
Di Selangor pula, penggunaan katil ICU masih kekal tinggi dengan 99 peratus, manakala Kuala Lumpur (70 peratus).
Kelantan turut merekodkan penggunaan katil ICU sebanyak 99 peratus, diikuti Pulau Pinang (101 peratus), Johor (98 peratus) dan Melaka (87 peratus).
Sementara itu, kadar penggunaan katil bukan ICU di hospital Covid-19 pula tertinggi di Pulau Pinang iaitu sebanyak 110 peratus, diikuti Perlis (105 peratus) dan Johor (101 peratus).
Terdahulu, menerusi kes harian Covid-19 hari ini, empat negeri merekodkan jangkitan baharu melepasi angka 2,000 iaitu di Selangor (3,613), diikuti Sarawak (2,464), Sabah (2,404), dan Johor (2,331).
Sementara itu, empat lagi negeri merekodkan kes melebihi angka 1,000 iaitu Pulau Pinang (1,726) diikuti Kedah (1,470) ,Perak (1,389) dan Kelantan (1,356). – Malaysiapost

